Mencegah Kemungkaran

Antara matlamat ibadah sembahyang kita ialah mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, seperti yang disebut oleh ayat 45 surah al-Ankabut. Jadi, sembahyang yang tidak dapat mendidik pengamalnya menjauhi perbuatan keji dan mungkar akan ditolak, seperti yang disebut oleh hadis, 'Kalau sembahyang kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan sembahyang. Dan pada hari kiamat nanti sembahyangmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.’ Yang bermaksud bahawa solat yang kita dirikan itu sebenarnya tidak berguna sama sekali, malah menimbulkan kemurkaan Allah s.w.t. seperti yang disebut dalam sebuah hadis lain, ‘Barang siapa yang sembahyangnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya sembahyangnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah swt dan jauh dari Allah swt.’
Hadis-hadis ini menyatakan dengan tegas bahawa ibadah sembahyang yang tidak dapat menahan pengamalnya dari perbuatan keji dan mungkar adalah sama seperti dia tidak mendirikan sembahyang, tidak bernilai umpama sebungkusan kain buruk, malah boleh menimbulkan kemarahan Allah swt. Ini juga sejajar dengan satu ayat dalam al-Quran yang maksudnya, ‘Dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.’ (al-Ankabut, 29: 45)
Semua orang yang tahu ayat ini, biasa mendengarnya, tetapi sejauh manakah komitmen kita terhadap ayat ini! Misalnya, jika orang meminta kita memberikan satu contoh kemungkaran yang boleh dicegah dengan sembahyang kita, apakah contoh yang anda akan berikan? Jawapan anda kelak, akan menunjukkan kefahaman kita terhadap maksud ayat tersebut, sama ada kita benar-benar faham peranannya atau tidak.
Mula-mula sekali kita wajib menerima ayat itu sebagai harapan Allah swt kepada kita, bahawa Allah mengharapkan agar sembahyang kita biarlah yang dapat mendidik kita menjauhi perkara-perkara yang mungkar; jika tidak kita tidak akan tergerak memikirkannya, yang akibatnya sampai bila-bila kita tidak akan dapat membuktikannya.
Saya turunkan satu contoh kemungkaran yang dimaksudkan: apakah anda rasa sekiranya ada kenderaan yang diletakkan menghalang untuk anda keluar dari tempat parkir? Paling kurang akan terlintas dalam hati bahawa tuan punya kenderaan itu tidak patut; bukankah ini suatu kemungkaran!
Apakah perkaitannya dengan sembahyang?
Dalam bab sembahyang ada hukum yang menyebut makruh sembahyang di laluan. Hukum ini asalnya sebagai panduan kepada kita agar jangan sembahyang di laluan seperti di muka pintu, dan sebagainya; tetapi iktibar dari hukum ini ialah jangan menghalang laluan. Jika tuan punya kenderaan itu memahami pengajaran ini sudah tentu dia tidak akan melakukannya; inilah satu contoh bahawa sembahyang kita mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.
Bacaan ayat 1 surah al-Fatihah itu sahaja jika difahami benar-benar maksudnya dan pengajarannya, sudah memadai untuk mengajar kita agar tidak melakukan kemungkaran. Penjelasannya boleh anda perolehi daripada buku MENGAPA SEMBAHYANG KITA DITOLAK yang dijangka terbit dalam bulan Jun 2013 ini, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Dalam buku ini diturunkan banyak contoh kemungkaran yang dapat dicegah dengan ibadah sembahyang. Antaranya yang berkait dengan hadis yang menyebut, maksudnya lebih kurang ialah siapa yang makan buah ini (bawang mentah) jangan mendekati masjid. Mengikut hadis ini, bawang mentah boleh menyebab bau mulut, dilarang ke masjid untuk sembahyang berjemaah kerana boleh menimbulkan gangguan kepada ahli jemaah yang lain. Apakah pengajaran dari hukum ini? Saya tinggalkan buat para pembaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan