Membina Ketawhidan


Bila menyebut ketawhidan akan mengingatkan kita kepada tawhid yang tiga, iaitu tawhid uluhiyah, tawhid rububiyah, dan tawhid asma' wasifat; walaupun ada golongan yang tidak setuju ketawhidan itu dibahagi-bahagikan seperti yang tersebut ini. Penggunaan istilah-istilah ini hanyalah satu pendekatan para fuqaha' untuk memudahkan mereka menjelaskannya.
Antara matlamat ibadah sembahyang kita adalah untuk menanam dan mempertingkatkan ketawhidan yang tiga itu, jika tidak maka sembahyang kita tidak membawa erti, atau tidak akan diterima. Cuba semak semula makna bacaan-bacaan di dalam sembahyang kita, sama ada yang sunat, apalagi yang wajib yang disebut sebagai rukun qauli itu; bermula dari kalimah Allahu akbar untuk takbiratul ihram sehingga Assalamualaikum untuk salam. Di sini saya tidak berhajat untuk menurunkan pengertiannya kerana anda pembaca sekalian akan menemuinya dalam buku yang akan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd, bertajuk MENGAPA SEMBAHYANG KITA DITOLAK, yang dijangka akan terbit dalam bulan Jun 2013 ini. Jika kita melihatnya dengan teliti dan kritis, bacaan-bacaan yang dimaksudkan itu sebenarnya mengandungi konsep-konsep berikut:
  • Bahawa Allah Maha Esa,
  • Bahawa Allah Maha Besar kuasaNya dan perananNya,
  • Bahawa Allah yang mencipta langit dan bumi ini,
  • Bahawa Allah Maha Suci, tiada sekutu baginya,
  • Bahawa segala puji-pujian adalah hanya untuk Allah sahaja,
  • Bahawa Allah Maha Tinggi,
  • Bahawa Allah Maha Pengampun,
  • Bahawa Allah yang memberi kita rahmat, perlindungan, dan rezeki,
  • Bahawa Allah sahaja yang harus menerima penghormatan yang tertinggi,
  • Bahawa Allah sahaja yang dapat memberikan kesejahteraan, rahmat dan berkat untuk Nabi dan hambanya yang soleh.
Kesemua yang di atas ini adalah unsur-unsur yang terkandung dalam tawhid yang tiga itu tadi.
Saya melihat di sini bahawa Allah swt menjadikan ibadah sembahyag yang diwajibkan kita menunaikannya itu sebagai proses pendidikan untuk menanamkan konsep-konsep di atas ke dalam diri pengamalnya; dalam ertikata lain, inilah matlamat-matlamat ibadah sembahyang kita. Syaratnya kita memahami erti bacaan-bacaan dalam sembahyang.

Kalimah Lailaha illallah
Sebenarnya, kesemua pengakuan yang disenaraikan di atas itu adalah terikat dengan kalimah Lailaha illallah, yang disebut dalam tahyat akhir. Itu sebabnya antara rukun sembahyang kita ialah membaca tasyhud iaitu tasyhud akhir yang kita baca sebelum memberi salam.
Bagaimanapun, bagi membina konsep Lailaha illallah yang bermaksud tunduk-patuh, biarlah yang memenuhi dan mencintai tuntutan kalimah itu, iaitu yang membawa konsep ketawhidan yang tiga itu iaitu tauhid uluhiyahtauhid rububiyah, dan tauhid asma’ wasifat. 
Tauhid uluhiyah ialah tauhid yang menyangkut kalimah Lailaha illallah itu sendiri, manakala tauhid rububiyah pula bahawa Allah swt adalah rabbil alamin yang disebut dalam ayat 2 surah al-Fatihah itu, yang bermaksud Allah adalah pentadbir sekalian alam; sementara tauhid asma’ wasifat adalah kepercayaan bahawa Allah swt mempunyai nama-nama yang baik dan indah, dengan sifat-sifatnya yang unik tidak sekali-kali boleh dibandingkan dengan sifat-sifat yang dimiliki oleh mana-mana makhluk.
Kepercayaan (iman) yang sempurna ialah apabila sudah tumbuh dalam hati nurani kita tiga bentuk tauhid di atas ini, sehingga melahirkan kesan-kesan kepada seluruh tingkah laku dan sikap hidup kita; diri kita terasa sentiasa dikawal dan diperhatikan-Nya, sehingga sentiasa berwaspada dari sebarang tingkah laku dan tindakan yang menyalahi ketauhidan yang tiga itu.

Tauhid uluhiyah
Jika kita melihat bacaan-bacaan dalam sembahyang, kita dapati banyak yang menyentuh soal-soal mengesakan Allah, dari sudut sifat-sifatNya, kekuasaan-Nya dan keluasan kerajaanNya, peranan-Nya, belas ihsan dan rahmatNya, dan lain-lain lagi.
Makna dan tafsiran surah al-Fatihah itu sahaja sudah mencakupi kesemua yang tersebut ini. Jadi bacaan surah al-Fatihah sebanyak tujuh belas kali sehari semalam, yang kita ulang-ulang setiap hari itu, sepatutnya sudah memadai untuk menanam keyakinan terhadap keesaan dan perananNya, selepas satu tempoh masa, mungkin lima tahun, sepuluh tahun umpamanya.

Tauhid rububiyah: Sedar atau tidak, kebanyakan kita seperti lupa kepada peranan Tuhan: Allah Maha Kuasa, Yang Rahman dan Yang Rahim, yang disebut oleh ayat 3, dan menyediakan hari pembalasan yang disebut oleh ayat 4 surah al-Ftihah.
Kita sudah cukup kuat berpegang kepada tauhid uluhiyah, percaya kepada zat Tuhan dan tauhid asma’ wasifat iaitu sifat-sifatNya seperti sifat-sifat Allah yang dua puluh itu; kita akan marah jika golongan Atheis mengatakan bahawa Tuhan tidak ada atau hanya imaginasi orang Islam sahaja kerana kita berpegang kepada tauhid uluhiyah. Namun, malangnya kita yang mengaku beriman kepada Tuhan, bahawa Tuhan ujud, mempunyai nama yang baik-baik dan sifat-sifat unik, tetapi kurang berpegang kepada tauhid rububiyah. Fenomena menunjukkan bahawa kita seperti tidak tahu, atau kurang peduli dengan tauhid yang satu ini. Kita lihat sahaja, mengapa orang yang dilihat memang kaki sembahyang, kaki berjemaah di surau atau masjid tetapi masih melakukan kemungkaran, sama ada yang terang-terangan atau yang tersembunyi, termasuk yang boleh membawa dosa. Seolah-olah kita lupa bahawa Allah Maha Berkuasa, Maha Melihat, Maha Mengetahui apa yang kita lakukan dan apa yang tersembunyi dalam hati dan fikiran kita. Kita seakan-akan tidak peduli dengan ayat 4 surah al-Fatihah, yang mewajibkan kita percaya kepada adanya hari pembalasan, syurga dan neraka, atau kita kurang percaya lantaran kita tidak melihatnya sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan