Ahad, 29 November 2015

Bacaan kuat atau perlahan dalam sembahyang

Satu ayat al-Quran yang saya jumpa pagi ni ialah yang bermaksud, 
'Janganlah engkau nyaringkan bacaan doa dan sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu'. (al-Isra', 17: 110)
Apakah tahap kuat dan perlahan?
Dalam kitab Sabilal-muhtadin menyebut, Jika bacaan kita boleh didengar oleh makmum di sebelah kita bererti kuat, manakala perlahan pula kitab yang sama menyebut, jika bacaan kita tidak dapat didengan olehnya sendiri bererti perlahan. 
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari ayat ini.
Saya ambil satu contoh, dalam pergaulan atau ketika kita berada dalam satu jemaah, misalnya dalam sebuah restoran, kawallah suara kita supaya tidak mengganggu orang lain. Inilah etika dan keperibadian yang boleh kita bina dari hukum-hakam dalam sembahyang. 
Banyak gangguan suara/bunyi yang dapat kita lihat dalam kehidupan seharian. Di atas ini adalah satu daripadanya. Antara lain lagi ialah bunyi eksoz kenderaan. Tidak dinafikan sesetengah kenderaan terutama motosikal bunyi ekszosnya sengaja dikuatkan. 
Bayangkan pada waktu lewat malam dalam sebuah taman perumahan apabila sebuah motosikal bunyi bising, tentu sekali mengganggu orang sedang tidur, atau mungkin boleh menyebabkan anak-anak kecil dan bayi akan terjaga dari tidurnya. Ini menyusahkan ibu atau penjaganya. 
Bayangkan juga dalam sebuah majlis perkahwinan bunyi pembesar suara yang kuat, tentu sekali boleh mengganggu para jemputan untuk berbual. Bagaimana jika bunyi kompang?
Bunyi kuat dari tv atau radio sudah jarang kedengaran akhir-akhir ini di kawasan perumahan. Tidak tahulah di kawasan luar bandar! Bunyi ini juga boleh mengganggu jiran yang berdekatan.
Bayangkan juga bunyi suara orang mengaji atau terahim dari surau atau masjid pada awal-awal waktu menjelang subuh. Wajarkah? Jika boleh menimbulkan gangguan adalah lebih baik daripada menyiarkannya.
Membuat gangguan (di sini ialah gangguan bunyi) hukumnya haram. Maka boleh dikelaskan sebagai kemungkaran. Di sinilah letaknya maksud ayat 45 surah al-Ankabut bahawa sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. 
Apakah hukumnya bagi orang-orang yang tidak terdidik dari sembahyangnya? Bagi saya sembahyangnya boleh ditolak, walaupun sah. Wallahu-a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan