Ahad, 10 Mac 2013

Sembahyang Membina Keperibadian


Prof. Dato’ Dr. Haron Din mencatatkan dalam bukunya, 
Ibadat adalah antara nilai Islam yang penting sekali kerana ia memainkan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat.’ (Manusia dan Islam, 113)

Ibadat di sini ialah ibadah-ibadah khusus yang terkandung dalam Rukun Iman itu, iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji.
Mengikut Kamus Dewan, peribadi diberi makna sifat-sifat (kelakuan, sikap, dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri untuk merupakan wataknya, manakala keperibadian bermaksud perihal peribadi, sifat (watak, ciri-ciri, dsb) yang khusus terdapat pada seseorang. Pengertian ini menggambarkan bahawa sembahyang kita juga bertujuan untuk membina watak manusia. 
Jadi, mengikut petikan dari buku Prof. di atas tadi, menunjukkan sembahyang juga antara ibadah yang membina keperibadian dan memajukan masyarakat. Secara tidak langsung menyatakan bahawa ibadah sembahyang kita mempunyai matlamat yang hendak dicapai, iaitu membina watak manusia - keperibadian itulah watak, iaitu suatu nilai dalam diri seseorang yang sudah sebati dengan dirinya, iaitu suatu nilai yang tertanam, berakar umbi, dan tidak mungkin dapat dibuang. 
Cuba semak, apakah anda sudah mempunyai watak yang terbina daripada sembahyang anda! Jika, anda rasa belum ada, atau anda tidak pasti, bereti anda seorang yang mendirikan sembahyang tetapi tidak mempunyai matlamat, selain untuk menunaikan tuntutan Rukun Islam sahaja, atau takut masuk neraka, atau kerana hendak masuk syurga, dan sebagainya. Persoalannya, bagaimana pula hendak masuk syurga jika matlamatnya tidak tercapai, sedangkan Allah sudah menyatakan bahawa, 
'Dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) fakhsya' dan mungkar.' (al-Ankabut, 29: 45)
Jika Allah swt meletakkan standard sembahyang begitu rupa, sedangkan kita tidak memenuhi standard itu, apakah Allah swt akan menerima sembahyang kita?
Apakah perkaitan ibadah sembahyang dengan keperibadian atau watak? Inilah yang menjadi masalah kita kerana perkara seperti ini jarang disentuh dalam pelajaran fiqh sembahyang kita. Kita hanya disogokkan dengan hukum-hakam, apa yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan ketika sembahyang, diajar perkara-perkara yang membatalkan, leka dengan mencari pahala dari sembahyang kita tetapi susah untuk mendengar pengajaran tentang matlamatnya. Saya teringat kata Dr Yusuf al-Qaradhawi, kefahaman terbaik terhadap beban kewajipan yang diberikan kepada kita ialah memehami tujuan sesuatu ibadah itu, yang bermaksud bahawa ibadah kita ada tujuannya yang hendak dicapai.
Contoh, dalam sembahyang berjemaah, kita mengikut imam dalam segala perbuatan: imam berdiri kita berdiri, imam rukuk kita rukuk, imam duduk kita duduk, dan sebagainya; dan ada pula hukum mengingatkan kita jangan mendahului imam, umpamanya imam belum rukuk kita rukuk dahulu. Pengajaran dari contoh ini ialah erti mengikut imam, iaitu orang yang di hadapan kita itulah. 
Jika situasi ini dibawa ke dalam hidup seharian, kita ambil contoh, ketika memandu kita harus mengikut orang yang di hadapan kita, seperti dalam berjemaah tadi itu, jika imam cepat kita ikut cepat, jika lambat kita ikut juga, itulah erti berjemaah, maka ketika memandu lebih-lebih lagi dalam keadaan kesesakan, kita harus mengikut orang di hadapan kita, tidak perlu mencari jalan untuk mendahului sehingga terpaksa memotong barisan dan seumpamanya. Ketika memandu di lebuh raya pula, begitu jugalah keadaannya, kecuali jika orang di hadapan kita tidak mematuhi peraturan, umpamanya di kawasan yang hadlaju 110km orang di hadapan memandu pada kelajuan 80km sahaja, ini boleh diibaratkan imam itu tidak mematuhi hukum sembahyang, maka kita dibolehkan mencari jalan memotongnya, agar pemandu-pemandu di belakang kita akan mengikut kita pula. Inilah keperibadian yang terbina daripada sembahyang kita.
Jadi, sembahyang kita biarlah yang dapat mendidik kita membina akhlak atau keperibadian, jika tidak ditakuti sembahyang kita tidak diterima atau dengan kata lain, ditolak, kerana Allah telah berfirman seperti di atas tadi. Wallahu-a'lam.