Rabu, 16 Januari 2013

Pakaian Sembahyang: Jangan Ketat

Etika berpakaian untuk sembahyang


Antara syarat sah sembahyang ialah menutup aurat: aurat lelaki ialah semua anggota yang terletak dari paras pusat hingga ke paras lutut, manakala bagi perempuan ialah semua anggota badahnya kecuali muka dan dua tapak tangannya. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ialah tidak jarang atau nipis, tidak ketat, dan yang panjang.

Pakaian ketat: Pakaian yang ketat sebenarnya tidak dikira menutup aurat kerana boleh menampakkan bentuk punggung dan alur antara kedua-duanya, ini boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah. Dengan pakaian yang ketat juga seseorang akan merasa dirinya kurang selesa ketika sujud dan duduk, ini boleh menyebabkan kurang khusyuk, kelihatannya mendirikan sembahyang tetapi apakah nilainya bila kurang khusyuk, itu sebabnya disarankan memakai pakaian yang panjang, yang dilepaskan agar dapat menutup bahagian berkenaan.

Pakaian jarang adalah dikira tidak menutup aurat kerana boleh menyerlahkan bentuk anggota badan, dan saiznya di sebaliknya.

Memakai sehelai kain sahaja yang tidak menutup bahu harus dielakkan, kerana ada sebuah hadis dari Abu Hurairah ra, katanya Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya ‘Janganlah kamu sembahyang memakai sehelai kain sahaja, kalau kain itu tidak cukup menutupi kedua bahumu’. (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 467)

Memakai pakaian bercorak hukumnya makruh, seperti yang diriwayat oleh sebuah hadis dari Aisyah ra, katanya Nabi saw pernah sembahyang memakai baju yang bercorak-corak, lalu beliau bersabda, ‘Corak baju ini menggangguku ketika sedang sembahyang. Kerana itu bawalah baju ini kepada Abu Jahm, tukar dengan yang polos’. (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 508)