Isnin, 8 Oktober 2012

Sembahyang: Jangan melihat ke atas

Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya Rasulullah saw bersabda: 'Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika solat; ataukah mereka akan dibutakan Allah.' (Terjemahan hadis Shahih Muslim no. 381)
Hadis ini melarang orang yang sedang mendirikan sembahyang melihat ke langit (atas). Hadis ini diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah r.a.
Dalam kitab Sabilul-muhtadin pula menyebut, sunat memandang ke tempat sujud, sepanjang kita mendirikan sembahyang. Ini bermaksud bahawa dilarang dalam petikan hadis di atas ini bermaksud makruh. Hukum makruh jika ditinggalkan menjadi sunat, dan diberi pahala. Apakah kita hendak mengabaikan hukum makruh ini lantaran tidak berdosa jika kita lakukan sekalipun! Terpulanglah, madu di tangan kanan, racun di tangan kiri, yang mana kita hendak pilih.
Dalam kitab Sabilul-muhtadin menyebutkan bahawa tempat sujud itu adalah paling mulia dari yang lain-lain, kerana itu disunatkan kita memandang ke tempat sujud sepanjang kita mendirikan sembahyang: ketika berdiri, mengangkat takbiratul-ihram, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud. Pendek kata, sepanjang tempoh kita mendirikan sembahyang, sunat memandang ke tempat sujud (tetapi ada juga kekecualiannya).
Ada sebuah hadis lain yang menyebut tentang hukum berpaling dari tempat sujud, diriwayatkan bahawa jika kita berpaling, Allah akan memalingkan muka-Nya dari orang itu, yang bagi saya bermaksud bahawa Allah tidak sudi memandang muka kita.
Yang lebih penting lagi ialah iktibar dari hukum ini. Apakah pengajaran yang dapat kita pelajari dari hukum ini. Harap mendapat respond dari pembaca, dan saya dahului dengan ribuan terima kasih.