Rabu, 7 Mac 2012

Matlamat Bismillah

Hassan r.a berkata :
Kalau sembahyang kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti sembahyangmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.’
Hadis ini berpadanan dengan maksud ayat 45 surah al-Ankabut, yang bermaksud,
'Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar'.
Apakah respon kita terhadap hadis dan firman di atas ini? Bolehkah anda sebutkan satu kemungkaran yang pernah anda lakukan, yang boleh dicegah dengan sembahyang kita? Inilah persoalan yang sukar untuk dijawab kerana memang jarang sekali ada penjelasan yang berkaitannya. Maka di sini saya ingin turunkan antara penjelasan setakat mengikut kemampuan yang saya ada. Kepada para bijak pandai harap memberi teguran kepada penulisan ini. Kerana manusia memang sentiasa kekurangan.

Bismillahirrahmaanirrahim.
Ayat 1 surah al-Fatihah ialah Bismillahir-rahmaanir-rahim. Kita lihat ayat ini dimulakan dengan kalimah Bismillah, yang lebih-kurangnya bermaksud dengan nama Allah. Imam Shuaib Webb, seorang Islam kelahiran Jerman dalam analisanya yang disiarkan dalam rancangan Reflection oleh TV al-Hijrah menyatakan ayat 1 surah al-Fatihah ini seakan-akan ada mengandungi sesuatu yang disembunyikan. Beliau menyokong pendapatnya dengan membandingkan ayat ini dengan ayat 1 surah al-’Alaq. Ayat 1 surah al-Alaq dimulakan dengan Iqra’ bismirabbika. Iqra’ bermakna bacalah, dan bismirabbika pula bermaksud dengan nama Tuhan kamu. Dalam ayat ini ada perkataan perbuatannya iaitu iqra’ yang bermakna bacalah. Jadi iqra’ bismirabbika bermaksud bacalah dengan nama Tuhan kamu. Sedangkan dalam surat al-Fatihah tadi, tiada perkataan perbuatan seperti mana ayat 1 surah al-Alaq. Jadi, perkataan perbuatan dalam ayat 1 surah al-Fatihah itu seperti sengaja disembunyikan. Demikian pendapat beliau dalam analisisnya terhadap ayat 1 surah al-Fatihah.
Sesuatu ayat biasanya mempunyai isim. Dalam ayat 1 surah al-’Alaq itu misalnya, isimnya ialah iqra’. Namun dalam Bahasa Arab memang dibolehkan membina ayat yang tanpa isim. Malah ayat-ayat al-Quran itu sendiri terdapat ayat-ayat yang tanpa isim. Misalnya, ayat 1 surah al-Fatihah itu tadi. Kita sering menyebut Allahu-akbar. Ini satu contoh di mana tiada isimnya.
Mengapakah Allah s.w.t. seperti sengaja menyembunyikan isim bagi bismillah tadi? Mengikut Imam Shuaib, ini menunjukkan Allah s.w.t. seperti sengaja membina satu ayat terbuka, yang bermaksud agar kita manusia meletakkan sendiri perkataan perbuatan seperti mana iqra’ tadi. Apakah yang hendak dimasukkan ke dalam ayat itu?
Jika ayat 1 surah al-’Alaq tadi kita jadikan contoh, maka yang disembunyikan ialah perkataan perbuatan. Perkataan bacalah tadi adalah satu perkataan perbuatan. Jadi iktibar darinya itu, maka kita harus memasukkan perkataan perbuatan juga kepada ayat 1 surah al-Fatihah itu. Misalnya kita masukkan perbuatan ‘makan’ atau ‘lihat’ dan sebagainya. Dengan itu terbinalah ayat yang ada isim. Misalnya makan dengan nama Allah; melihat dengan nama Allah; bercakap dengan nama Allah; membasuh dengan nama Allah, dan sebagainya.
Membaca bismillah sebelum melakukan sesuatu memang sudah menjadi amalan hidup kita. Disebutkan bahawa hukumnya sunat. Sebelum makan kita membaca bismillah, sebelum tidur kita baca bismillah, hendak memandu juga kita baca bismillah, dan sebagainya. Jadi bolehlah dirumuskan di sini iaitu setiap apa yang hendak kita lakukan haruslah dimulakan dengan membaca bismillah, sepadan dengan bismirabb seperti ayat 1 dalam surah al-’Alaq itu.

Roh Bismillah. Pengajaran dari ayat 1 surah al-Fatihah itu ialah bahawa sebagai pengakuan kita kepada keesaan dan keagungan Allah s.w.t. maka tidak seharusnya kita melupakanNya, setiap masa dan tempat, dalam keadaan apa juga sekalipun. Maka segala apa yang hendak kita lakukan mesti dimulakan dengan bismillah. Ini sepadan dengan ikrar yang kita sebut dalam doa iftitah ketika mendirikan sembahyang itu, yang menyebut bahawa sembahyangku, ibadatku, hidup dan matiku hanya kerana Allah. Mungkin inilah juga antara sebabnya kita diwajibkan membaca surah al-Fatihah setiap kali mendirikan sembahyang.
Jika ini kita jadikan prinsip hidup kita, maka benarlah seperti yang kita bacaa dalam doa iftitah itu. Maka lahirlah satu bentuk kehidupan yang semuanya kerana Allah. Makan kerana Allah, duduk dan baring kerana Allah, berjalan, bekerja, bercakap, melihat dan sebagainya adalah kerana Allah jua. Jadi inilah roh bismillah yang Allah s.w.t. ingin kita hidupkan. Dengan kata lain, dengan kalimah bismillah itu sahaja sepatutnya sudah memadai untuk mendidik kita menjadi seseorang yang sentiasa sedar bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama kita, sentiasa melihat kita.
Dengan kata lain, kita faham bahawa ayat 1 surah al-Fatihah itu juga sudah memadai untuk mencegah kita dari melakukan sebarang kemungkaran. Misalnya, apakah ada orang yang mengaku Islam tetapi tergamak untuk bismillah dahulu sebelum mencuri, membohong, membuat khianat, membuat fitnah, menzalimi dan merampas hak orang lain! Atau apakah kita tergamak untuk bismillah sebelum merokok, menyanyi, mengganggu orang, dan sebagainya. Rasanya agak mustahil ada golongan yang sedemikian. Maka secara tidak langsung ayat 1 surah al-Fatihah itu jika difahami konsepnya, matlamatnya, sudah membantu kita menghindarkan diri dari melakukan kemungkaran-kemungkaran tersebut. Jika ada yang ingin melakukannya mereka tidak akan mulakan dengan membaca bismillah. Maka timbul pula persoalan tentang status sembahyangnya. Bacaan Fatihahnya tidak memberi makna kepada dirinya.
Sebaliknya, tidak membaca bismillah dalam segala perbuatan pula hukumnya haram kerana kita sudah dikira sebagai seorang yang melupakan Tuhan. Melupakan Tuhan sudah menghampiri keWujudanNya. Ataupun kita sudah melanggar pengakuan kita dalam doa iftitah itu tadi. Kita mungkir janji. Jadi golongan yang tergamak melupakan Allah sahaja yang sanggup melakukan kemungkaran-kemungkaran. Buktinya, untuk mencuri dia tidak akan membaca bismillah, untuk membohong dia tidak akan membaca bismillah. Maka dia adalah dari golongan orang yang sanggup melakukan kemungkaran dengan melupakan Tuhannya. Na’uzubillah.
Jadi di sinilah letaknya bukti yang tersebut di atas tadi bahawa sembahyang kita dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Syaratnya kita faham apa yang kita baca dalam sembahyang, dan bersikap terbuka untuk membuat perubaha ke arah taqwa. Maka dengan ini juga fahamlah kita bahawa antara sebabnya sembahyang kita dikira seperti tidak sembahyang yang dimaksudkan di atas tadi. Bererti sembahyang kita ditolak. Malah di akhirat kelak sembahyang kita akan dilemparkan ke muka kita. Ini membayangkan kemurkaan Allah s.w.t. Rasulullah juga pernah bersabda, antara orang yang sembahyangnya ditolak ialah seorang lelaki yang sembahyang tetapi tidak membaca apa-apa. Fikirkanlah. Maka sama-samalah kita muhasabah diri dengan sembahyang kita.