Ahad, 19 September 2010

Kandungan:

Untuk apa kita sembahyang

Ye, untuk apa anda sembahyang, menyembah Allah?
Kalau sembahyang hanya untuk memenuhi tuntutan rukun Islam, sebagai tanda keimanan kita sahaja, tiada tindakan atau perlakuan yang selanjutnya, maka sembahyang kita hanya setakat seperti membayar hutang kita kepada Allah s.w.t sahaja. Sembahyang seperti ini belum tentu dapat menjamin kita masuk syurga.
Sembahyang kita harus dapat merobah tingkah-laku. Tingkah laku ini akan menjadikan kita menjadi seorang yang boleh dilihat membawa syiar, membawa imej Islam sejati. Prof. Dato' Dr. Haron Din dalam bukunya Manusia dan Islam menyebut, "Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?"
Bagi saya sembahyang contohnya, jika tidak diambil iktibar dari segala hukum-hukumnya, dan diterjemahkan ke dalam kehidupan kita seharian, bererti kita mengabaikan apa yang disebut oleh Prof. Dato' seperti di atas.
Misalnya, ada hukum dalam sembahyang yang melarang kita dari mengganggu ahli jemaah bersebelahan kita, seperti membaca kuat. Apakah iktibar darinya?
Hukum ini sepatutnya mengajar kita jangan mengganggu jiran umpamanya. Dalam kontek hukum itu tadi, jangan membuat bising yang sehingga mengganggu jiran. Sejauh mana kita mengambil iktibar sedemikian?
Dalam bab sembahyang banyak jenis gangguan yang boleh terjadi, dan di luar kesedaran kita. Malah ada hukum berkaitan yang sering diulang-ulang dalam ceramah, tetapi tidak memberi kesan dalam kehidupan. Misalnya, gangguan bau. Kita sering diingatkan, 'jangan makan benda-benda busuk seperti petai, sebelum pergi sembahyang' (sembahyang jemaah la tu). Hukum ini mengajar kita agar tidak membuat gangguan kepada jiran dan sebagainya. dari segi busuk. Bagaimana dengan gangguan dari segi rasa, lihat dan lain-lain?
Jadi seperti yang dituliskan oleh Prof. Dato' tadi, bagi saya kita harus melakukan atau membua tindakan selanjutnya selepas sembahyang selaras dengan hukum-hakam di dalamnya. Begitu juga, hukum-hakam dalam ibadah haji umpamanya. Kita dilarang merosakkan pokok atau membunuh sebarang hidupa ketika wukuf di Arafah. Bagi saya, ini adalah satu bentuk pendidikan ke arah menjaga alam sekitar. Cuba lihat, berapa ramai orang sengaja meletak kereta di atas kawasan rumput yang sengaja ditanam bagi mencantikkan sekitaran, dengan belanja ribuan ringgit. Tetapi berapa ramai orang yang mengamalkannya, walaupun setelah menunaikan haji beberapa kali. Maka dikatakan haji kita tidak memberi kesan kepada diri kita.
Di sini saya hanya menyentuh dua daripada lima rukun Islam. Yang lainnya boleh kita renungkan dan renungkan dan jadikanlah sebagai satu bentuk mentarbiah diri agar menjadi Muslim yang sejajar dengan kehendak Islam kita.