Khamis, 24 Mac 2016

Ketahuilah maksud rukun feeli solat

Saya panjangkan tulisan seorang ustaz, sahabat saya. Surat Cinta daripada ALLAH SWT tentang SOLAT šŸŒ¼Apabila engkau anggap solat itu hanya sebagai kewajipan, maka kau akan terburu² mengerjakannya & tak akan menikmati hadirnya Allah SWT saat kau mengerjakannya. šŸŒ¼Anggaplah solat itu pertemuan yg kau nanti dgn Tuhanmu...AllahuAkbar. šŸŒ¼Anggaplah solat itu sebagai cara terbaik kau bercerita dengan-NYA...AllahuAkbar. šŸŒ¼Anggaplah solat itu sebagai kondisi terbaik untuk kau mengadu segala keluh kesah dengan Allah SWT. šŸŒ¼Anggaplah solat itu sebagai seriusnya kau dalam bermimpi. šŸŒ¼Bayangkan ketika "azan berkumandang" Allah SWT melambai² kepadamu utk mengajak kau lebih dekat dengan-Nya...AllahuAkbar. šŸŒ¼Bayangkan ketika kau "Takbir", Ya Rabb melihatmu, DIA tersenyum untukmu dan DIA berbangga dengan mu. šŸŒ¼Bayangkanlah ketika "Rukuk", Al Haq menampung badanmu hingga kau tak terjatuh, hingga kau merasakan damai dalam sentuhan-Nya...Allahuakbar. šŸŒ¼Bayangkan ketika "Sujud", Allah SWT mengalas kepalamu. Lalu DIA berbisik lembut di kedua² telingamu: "AKU mencintaimu wahai hamba-Ku."...AllahuAkbar. šŸŒ¼Bayangkan ketika kau "Duduk di antara 2 sujud", Allah SWT berdiri gagah di depanmu, lalu mengatakan: "AKU tak akan diam apabila orang mengusik mu". šŸŒ¼Bayangkan ketika kau memberi "Salam", DIA menjawab salam itu, lalu kau jadi manusia berhati bersih...SubhanAllah. šŸŒ¼Masya Allah...sungguh nikmat solat yg kita lakukan. Tak akan sia² orang yang menyebarkannya. Maka sebarkanlah wahai teman² ku.
Allahuma, saksikanlah.....
Ingatan dan muhasabah buat diriku sendiri, saudara² ku dan sahabat² ku. Kita insan biasa yg sering terleka dek urusan dunia yg sentiasa menghambat kita dan kita pula sentiasa mengejarnya. Ketahuilah. Inilah sebabnya kita diwajibkan mengetahui makna bacaan2 dalam solat kita. Jika tidak solat kita mungkin ditolak. Sebuah hadis menyebut, tiada pahala bagi solat orang yang tidak mengetahui makna bacaan2 dalam solat. Wallahu aalam.
Penjelasannya terdapat dalam buku ini. Haarga RM22, saya beri potongan 50%. Kos penghantara RM6. 0192248404

Ahad, 29 November 2015

Bacaan kuat atau perlahan dalam sembahyang

Satu ayat al-Quran yang saya jumpa pagi ni ialah yang bermaksud, 
'Janganlah engkau nyaringkan bacaan doa dan sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu'. (al-Isra', 17: 110)
Apakah tahap kuat dan perlahan?
Dalam kitab Sabilal-muhtadin menyebut, Jika bacaan kita boleh didengar oleh makmum di sebelah kita bererti kuat, manakala perlahan pula kitab yang sama menyebut, jika bacaan kita tidak dapat didengan olehnya sendiri bererti perlahan. 
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil dari ayat ini.
Saya ambil satu contoh, dalam pergaulan atau ketika kita berada dalam satu jemaah, misalnya dalam sebuah restoran, kawallah suara kita supaya tidak mengganggu orang lain. Inilah etika dan keperibadian yang boleh kita bina dari hukum-hakam dalam sembahyang. 
Banyak gangguan suara/bunyi yang dapat kita lihat dalam kehidupan seharian. Di atas ini adalah satu daripadanya. Antara lain lagi ialah bunyi eksoz kenderaan. Tidak dinafikan sesetengah kenderaan terutama motosikal bunyi ekszosnya sengaja dikuatkan. 
Bayangkan pada waktu lewat malam dalam sebuah taman perumahan apabila sebuah motosikal bunyi bising, tentu sekali mengganggu orang sedang tidur, atau mungkin boleh menyebabkan anak-anak kecil dan bayi akan terjaga dari tidurnya. Ini menyusahkan ibu atau penjaganya. 
Bayangkan juga dalam sebuah majlis perkahwinan bunyi pembesar suara yang kuat, tentu sekali boleh mengganggu para jemputan untuk berbual. Bagaimana jika bunyi kompang?
Bunyi kuat dari tv atau radio sudah jarang kedengaran akhir-akhir ini di kawasan perumahan. Tidak tahulah di kawasan luar bandar! Bunyi ini juga boleh mengganggu jiran yang berdekatan.
Bayangkan juga bunyi suara orang mengaji atau terahim dari surau atau masjid pada awal-awal waktu menjelang subuh. Wajarkah? Jika boleh menimbulkan gangguan adalah lebih baik daripada menyiarkannya.
Membuat gangguan (di sini ialah gangguan bunyi) hukumnya haram. Maka boleh dikelaskan sebagai kemungkaran. Di sinilah letaknya maksud ayat 45 surah al-Ankabut bahawa sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. 
Apakah hukumnya bagi orang-orang yang tidak terdidik dari sembahyangnya? Bagi saya sembahyangnya boleh ditolak, walaupun sah. Wallahu-a'lam.

Sabtu, 28 November 2015

Akhlak kita adalah keperibadian kita

Akhlak kita adalah sebahagian daripada keperibadian. Baik atau buruk akhlak kita adalah suatu yang sangat sensitif - mudah terlihat di khalayak ramai, tidak dapat ditutup. Ianya adalah jelas sebagai syiar.



Ibadah sembahyang kita boleh dilihat sebagai proses pendidikan membentuk akhlak. Di dalam bab sembahyang banyak elemen dalam bentuk hukum-hakam dan prosedur yang boleh diterjemahkan menjadi etika dan peraturan hidup.

Misalnya, peraturan atau etika berbaris seperti ini adalah berkait dengan adab membina saf. Secara ringkasnya bolehlah disebuy bahawa sisiapa yang datang dahulu boleh mengambil tempat di belakang imam, yang kemudian mengisi tempat di sebelah orang yang pertama, dan seterusnya sehingga terbentuk saf. Bolehkah misalnya kita yang datang lewat tiba-tiba hendak mencelah bersama dengan orang yang pertama atau yang kedua itu.
Cara kita parkir juga boleh menyerlahkan akhlak dan keperibadian kita.
Gambar hiasan

Tindakan menyekat laluan pejalan kaki seperti ini tentu tidak wajar, walau apa juga alasannya. Siapapun tidak gemar jika laluannya terhalang. Amat malanglah jika ini dilakukan oleh seorang Muslim, lebih lagi yang kehilatannya kaki sembahyang di masjid. Kerana, dalam bab sembahyang ada menyebut satu hukum, iaitu makruh sembahyang di laluan. Walaupun pada asalnya hukum ini diguna unti beradab dalam sembahyang, tetapi sebenarnya hukum itu juga mengajar kita erti jangan membuat halangan. Apakah alasan kita untuk menerima perbuatan ini? Sebentar sahaja, atau tidak adapun orang lalu, ala kan boleh lalu di sebelah tu, inilah antara alasannya mungkin.

Selasa, 27 Oktober 2015

Tamadun Islam vs Generasi Muslim sekarang

Sebuah buku kecil yang baru saya baca mengutarakan persoalan, mengapa generasi Muslim sekarang tidak seperti yang terbina pada awal-awal tamadun Islam dahulu, walhal al-Quran dan Sunnah tetap sama, masih di tangan kita. Maka buku ini cuba menelah sebab-sebabnya: adakah kerana generasi pada awal-awal tamadun Islam dahulu tidak terdedah dengan sumber-sumber lain selain dua sumber tersebut berbanding sekarang. Maka mereka berpegang kepada dua sumber itu sahaja, berbanding dengan generasi sekarang yang banyak terdedah dengan tamadun-tamadun seperti Falsafah Greek, tamadun Parsi, kitab-kitab agama Jews, pemikiran Kristian dan sebagainya, maka pengaruh al-Quran dan Sunnah sudah tercemar atau bercampur aduk dengan pemikiran-pemikiran tersebut. Walhal
Allah s.w.t. memberi jaminan bahawa Dia sendiri yang akan memelihara al-Quran seperti adanya sejak dahulu lagi, agar menjadi sumber rujukan manusia sejagat sehingga ke akhir zaman.
Dilihat juga dari sudut lain umpamanya, generasi dahulu menggunakan al-Quran sebagai petunjuk untuk tindakan, sedangkan generasi sekarang menggunakannya sebagai bahan kesusasteraan sahaja, bukan untuk penentu tindakan, lalu mengajak generasi sekarang agar menyemak semula penerimaan buku wahyu yang satu itu. Wallahu a'lam

Jumaat, 11 Oktober 2013

eBuku Salahlaku Dalam Sembahyang

Book ini melihat persoalan-persoalan sunat dan makruh dalam ibadah sembahyang sebagai aspek yang harus diberi tempat sewajarnya, tidak boleh ditinggalkan, kerana di sinilah letaknya konsep ibadah sembahyang kita: adakah ibadah sembahyang yang kita tunaikan itu untuk mencari keredaan Allah, atau kita tunaikan kerana Allah memerintahkannya. Jauh perbezaan antara kedua-dua tanggapan itu - yang mencari keredaan Allah akan mendiri-kan sembahyang dengan penuh tertib, mengikuti prosedur bagaimana Rasulullah saw mendirikannya, dijaga setiap aspek walaupun yang kecil-kecil seperti soal-soal sunat-makruh itu tadi, manakala yang satu lagi mendirikan sembahyang sekadar sah sahaja.
RM15 sehingga 10 Zulhijah sahaja,
selepasnya RM20 

Cara pembelan, klik di sini
Cara pembeliah, Klik di sini
Dari satu sudut lain pula yang dapat dilihat ialah bahawa dalam hukum sunat dan makruh itulah letaknya roh ibadah sembahyang kita, yang akan merealisasikan ayat 45 surah al-Ankabut, yang maksudnya, ‘Dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar.’ Misalnya, ada hukum dalam bab sembahyang menyebut, Makruh sembahyang di laluan, bukanlah sekadar hukum yang mengajar kita agar tidak sembahyang di muka pintu, di kakilima bangunan, dan sebagainya sehingga menyusahkan orang yang hendak lalu sahaja, tetapi mengajar kita erti membuat halangan; membuat halangan adalah satu bentuk kemungkaran, yang mengikut ayat itu tadi, boleh dicegah dengan mengambil iktibar dari ibadah sembahyang. Di sinilah letaknya semangat atau roh ibadah sembahyang kita – ianya terselindung di sebalik hukum makruh.
Bahagian akhir buku ini dimuatkan beberapa contoh hukum sunat-makruh yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk etika dan akhlak seharian kita.

Ahad, 10 Mac 2013

Sembahyang Membina Keperibadian


Prof. Dato’ Dr. Haron Din mencatatkan dalam bukunya, 
Ibadat adalah antara nilai Islam yang penting sekali kerana ia memainkan peranan yang berkesan untuk membina keperibadian dan memajukan masyarakat.’ (Manusia dan Islam, 113)

Ibadat di sini ialah ibadah-ibadah khusus yang terkandung dalam Rukun Iman itu, iaitu sembahyang, zakat, puasa dan haji.
Mengikut Kamus Dewan, peribadi diberi makna sifat-sifat (kelakuan, sikap, dan lain-lain) seseorang yang sudah sebati dengan dirinya sendiri untuk merupakan wataknya, manakala keperibadian bermaksud perihal peribadi, sifat (watak, ciri-ciri, dsb) yang khusus terdapat pada seseorang. Pengertian ini menggambarkan bahawa sembahyang kita juga bertujuan untuk membina watak manusia. 
Jadi, mengikut petikan dari buku Prof. di atas tadi, menunjukkan sembahyang juga antara ibadah yang membina keperibadian dan memajukan masyarakat. Secara tidak langsung menyatakan bahawa ibadah sembahyang kita mempunyai matlamat yang hendak dicapai, iaitu membina watak manusia - keperibadian itulah watak, iaitu suatu nilai dalam diri seseorang yang sudah sebati dengan dirinya, iaitu suatu nilai yang tertanam, berakar umbi, dan tidak mungkin dapat dibuang. 
Cuba semak, apakah anda sudah mempunyai watak yang terbina daripada sembahyang anda! Jika, anda rasa belum ada, atau anda tidak pasti, bereti anda seorang yang mendirikan sembahyang tetapi tidak mempunyai matlamat, selain untuk menunaikan tuntutan Rukun Islam sahaja, atau takut masuk neraka, atau kerana hendak masuk syurga, dan sebagainya. Persoalannya, bagaimana pula hendak masuk syurga jika matlamatnya tidak tercapai, sedangkan Allah sudah menyatakan bahawa, 
'Dirikanlah sembahyang; sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari (perbuatan) fakhsya' dan mungkar.' (al-Ankabut, 29: 45)
Jika Allah swt meletakkan standard sembahyang begitu rupa, sedangkan kita tidak memenuhi standard itu, apakah Allah swt akan menerima sembahyang kita?
Apakah perkaitan ibadah sembahyang dengan keperibadian atau watak? Inilah yang menjadi masalah kita kerana perkara seperti ini jarang disentuh dalam pelajaran fiqh sembahyang kita. Kita hanya disogokkan dengan hukum-hakam, apa yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan ketika sembahyang, diajar perkara-perkara yang membatalkan, leka dengan mencari pahala dari sembahyang kita tetapi susah untuk mendengar pengajaran tentang matlamatnya. Saya teringat kata Dr Yusuf al-Qaradhawi, kefahaman terbaik terhadap beban kewajipan yang diberikan kepada kita ialah memehami tujuan sesuatu ibadah itu, yang bermaksud bahawa ibadah kita ada tujuannya yang hendak dicapai.
Contoh, dalam sembahyang berjemaah, kita mengikut imam dalam segala perbuatan: imam berdiri kita berdiri, imam rukuk kita rukuk, imam duduk kita duduk, dan sebagainya; dan ada pula hukum mengingatkan kita jangan mendahului imam, umpamanya imam belum rukuk kita rukuk dahulu. Pengajaran dari contoh ini ialah erti mengikut imam, iaitu orang yang di hadapan kita itulah. 
Jika situasi ini dibawa ke dalam hidup seharian, kita ambil contoh, ketika memandu kita harus mengikut orang yang di hadapan kita, seperti dalam berjemaah tadi itu, jika imam cepat kita ikut cepat, jika lambat kita ikut juga, itulah erti berjemaah, maka ketika memandu lebih-lebih lagi dalam keadaan kesesakan, kita harus mengikut orang di hadapan kita, tidak perlu mencari jalan untuk mendahului sehingga terpaksa memotong barisan dan seumpamanya. Ketika memandu di lebuh raya pula, begitu jugalah keadaannya, kecuali jika orang di hadapan kita tidak mematuhi peraturan, umpamanya di kawasan yang hadlaju 110km orang di hadapan memandu pada kelajuan 80km sahaja, ini boleh diibaratkan imam itu tidak mematuhi hukum sembahyang, maka kita dibolehkan mencari jalan memotongnya, agar pemandu-pemandu di belakang kita akan mengikut kita pula. Inilah keperibadian yang terbina daripada sembahyang kita.
Jadi, sembahyang kita biarlah yang dapat mendidik kita membina akhlak atau keperibadian, jika tidak ditakuti sembahyang kita tidak diterima atau dengan kata lain, ditolak, kerana Allah telah berfirman seperti di atas tadi. Wallahu-a'lam.

Rabu, 16 Januari 2013

Pakaian Sembahyang: Jangan Ketat

Etika berpakaian untuk sembahyang


Antara syarat sah sembahyang ialah menutup aurat: aurat lelaki ialah semua anggota yang terletak dari paras pusat hingga ke paras lutut, manakala bagi perempuan ialah semua anggota badahnya kecuali muka dan dua tapak tangannya. Antara ciri-ciri pakaian yang menutup aurat ialah tidak jarang atau nipis, tidak ketat, dan yang panjang.

Pakaian ketat: Pakaian yang ketat sebenarnya tidak dikira menutup aurat kerana boleh menampakkan bentuk punggung dan alur antara kedua-duanya, ini boleh menyebabkan sembahyangnya tidak sah. Dengan pakaian yang ketat juga seseorang akan merasa dirinya kurang selesa ketika sujud dan duduk, ini boleh menyebabkan kurang khusyuk, kelihatannya mendirikan sembahyang tetapi apakah nilainya bila kurang khusyuk, itu sebabnya disarankan memakai pakaian yang panjang, yang dilepaskan agar dapat menutup bahagian berkenaan.

Pakaian jarang adalah dikira tidak menutup aurat kerana boleh menyerlahkan bentuk anggota badan, dan saiznya di sebaliknya.

Memakai sehelai kain sahaja yang tidak menutup bahu harus dielakkan, kerana ada sebuah hadis dari Abu Hurairah ra, katanya Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya ‘Janganlah kamu sembahyang memakai sehelai kain sahaja, kalau kain itu tidak cukup menutupi kedua bahumu’. (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 467)

Memakai pakaian bercorak hukumnya makruh, seperti yang diriwayat oleh sebuah hadis dari Aisyah ra, katanya Nabi saw pernah sembahyang memakai baju yang bercorak-corak, lalu beliau bersabda, ‘Corak baju ini menggangguku ketika sedang sembahyang. Kerana itu bawalah baju ini kepada Abu Jahm, tukar dengan yang polos’. (Terjemahan Hadis Shahih Muslim: 508)

Isnin, 8 Oktober 2012

Sembahyang: Jangan melihat ke atas

Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya Rasulullah saw bersabda: 'Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika solat; ataukah mereka akan dibutakan Allah.' (Terjemahan hadis Shahih Muslim no. 381)
Hadis ini melarang orang yang sedang mendirikan sembahyang melihat ke langit (atas). Hadis ini diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah r.a.
Dalam kitab Sabilul-muhtadin pula menyebut, sunat memandang ke tempat sujud, sepanjang kita mendirikan sembahyang. Ini bermaksud bahawa dilarang dalam petikan hadis di atas ini bermaksud makruh. Hukum makruh jika ditinggalkan menjadi sunat, dan diberi pahala. Apakah kita hendak mengabaikan hukum makruh ini lantaran tidak berdosa jika kita lakukan sekalipun! Terpulanglah, madu di tangan kanan, racun di tangan kiri, yang mana kita hendak pilih.
Dalam kitab Sabilul-muhtadin menyebutkan bahawa tempat sujud itu adalah paling mulia dari yang lain-lain, kerana itu disunatkan kita memandang ke tempat sujud sepanjang kita mendirikan sembahyang: ketika berdiri, mengangkat takbiratul-ihram, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud. Pendek kata, sepanjang tempoh kita mendirikan sembahyang, sunat memandang ke tempat sujud (tetapi ada juga kekecualiannya).
Ada sebuah hadis lain yang menyebut tentang hukum berpaling dari tempat sujud, diriwayatkan bahawa jika kita berpaling, Allah akan memalingkan muka-Nya dari orang itu, yang bagi saya bermaksud bahawa Allah tidak sudi memandang muka kita.
Yang lebih penting lagi ialah iktibar dari hukum ini. Apakah pengajaran yang dapat kita pelajari dari hukum ini. Harap mendapat respond dari pembaca, dan saya dahului dengan ribuan terima kasih.

Rabu, 7 Mac 2012

Matlamat Bismillah

Hassan r.a berkata :
Kalau sembahyang kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti sembahyangmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk.’
Hadis ini berpadanan dengan maksud ayat 45 surah al-Ankabut, yang bermaksud,
'Dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar'.
Apakah respon kita terhadap hadis dan firman di atas ini? Bolehkah anda sebutkan satu kemungkaran yang pernah anda lakukan, yang boleh dicegah dengan sembahyang kita? Inilah persoalan yang sukar untuk dijawab kerana memang jarang sekali ada penjelasan yang berkaitannya. Maka di sini saya ingin turunkan antara penjelasan setakat mengikut kemampuan yang saya ada. Kepada para bijak pandai harap memberi teguran kepada penulisan ini. Kerana manusia memang sentiasa kekurangan.

Bismillahirrahmaanirrahim.
Ayat 1 surah al-Fatihah ialah Bismillahir-rahmaanir-rahim. Kita lihat ayat ini dimulakan dengan kalimah Bismillah, yang lebih-kurangnya bermaksud dengan nama Allah. Imam Shuaib Webb, seorang Islam kelahiran Jerman dalam analisanya yang disiarkan dalam rancangan Reflection oleh TV al-Hijrah menyatakan ayat 1 surah al-Fatihah ini seakan-akan ada mengandungi sesuatu yang disembunyikan. Beliau menyokong pendapatnya dengan membandingkan ayat ini dengan ayat 1 surah al-’Alaq. Ayat 1 surah al-Alaq dimulakan dengan Iqra’ bismirabbika. Iqra’ bermakna bacalah, dan bismirabbika pula bermaksud dengan nama Tuhan kamu. Dalam ayat ini ada perkataan perbuatannya iaitu iqra’ yang bermakna bacalah. Jadi iqra’ bismirabbika bermaksud bacalah dengan nama Tuhan kamu. Sedangkan dalam surat al-Fatihah tadi, tiada perkataan perbuatan seperti mana ayat 1 surah al-Alaq. Jadi, perkataan perbuatan dalam ayat 1 surah al-Fatihah itu seperti sengaja disembunyikan. Demikian pendapat beliau dalam analisisnya terhadap ayat 1 surah al-Fatihah.
Sesuatu ayat biasanya mempunyai isim. Dalam ayat 1 surah al-’Alaq itu misalnya, isimnya ialah iqra’. Namun dalam Bahasa Arab memang dibolehkan membina ayat yang tanpa isim. Malah ayat-ayat al-Quran itu sendiri terdapat ayat-ayat yang tanpa isim. Misalnya, ayat 1 surah al-Fatihah itu tadi. Kita sering menyebut Allahu-akbar. Ini satu contoh di mana tiada isimnya.
Mengapakah Allah s.w.t. seperti sengaja menyembunyikan isim bagi bismillah tadi? Mengikut Imam Shuaib, ini menunjukkan Allah s.w.t. seperti sengaja membina satu ayat terbuka, yang bermaksud agar kita manusia meletakkan sendiri perkataan perbuatan seperti mana iqra’ tadi. Apakah yang hendak dimasukkan ke dalam ayat itu?
Jika ayat 1 surah al-’Alaq tadi kita jadikan contoh, maka yang disembunyikan ialah perkataan perbuatan. Perkataan bacalah tadi adalah satu perkataan perbuatan. Jadi iktibar darinya itu, maka kita harus memasukkan perkataan perbuatan juga kepada ayat 1 surah al-Fatihah itu. Misalnya kita masukkan perbuatan ‘makan’ atau ‘lihat’ dan sebagainya. Dengan itu terbinalah ayat yang ada isim. Misalnya makan dengan nama Allah; melihat dengan nama Allah; bercakap dengan nama Allah; membasuh dengan nama Allah, dan sebagainya.
Membaca bismillah sebelum melakukan sesuatu memang sudah menjadi amalan hidup kita. Disebutkan bahawa hukumnya sunat. Sebelum makan kita membaca bismillah, sebelum tidur kita baca bismillah, hendak memandu juga kita baca bismillah, dan sebagainya. Jadi bolehlah dirumuskan di sini iaitu setiap apa yang hendak kita lakukan haruslah dimulakan dengan membaca bismillah, sepadan dengan bismirabb seperti ayat 1 dalam surah al-’Alaq itu.

Roh Bismillah. Pengajaran dari ayat 1 surah al-Fatihah itu ialah bahawa sebagai pengakuan kita kepada keesaan dan keagungan Allah s.w.t. maka tidak seharusnya kita melupakanNya, setiap masa dan tempat, dalam keadaan apa juga sekalipun. Maka segala apa yang hendak kita lakukan mesti dimulakan dengan bismillah. Ini sepadan dengan ikrar yang kita sebut dalam doa iftitah ketika mendirikan sembahyang itu, yang menyebut bahawa sembahyangku, ibadatku, hidup dan matiku hanya kerana Allah. Mungkin inilah juga antara sebabnya kita diwajibkan membaca surah al-Fatihah setiap kali mendirikan sembahyang.
Jika ini kita jadikan prinsip hidup kita, maka benarlah seperti yang kita bacaa dalam doa iftitah itu. Maka lahirlah satu bentuk kehidupan yang semuanya kerana Allah. Makan kerana Allah, duduk dan baring kerana Allah, berjalan, bekerja, bercakap, melihat dan sebagainya adalah kerana Allah jua. Jadi inilah roh bismillah yang Allah s.w.t. ingin kita hidupkan. Dengan kata lain, dengan kalimah bismillah itu sahaja sepatutnya sudah memadai untuk mendidik kita menjadi seseorang yang sentiasa sedar bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama kita, sentiasa melihat kita.
Dengan kata lain, kita faham bahawa ayat 1 surah al-Fatihah itu juga sudah memadai untuk mencegah kita dari melakukan sebarang kemungkaran. Misalnya, apakah ada orang yang mengaku Islam tetapi tergamak untuk bismillah dahulu sebelum mencuri, membohong, membuat khianat, membuat fitnah, menzalimi dan merampas hak orang lain! Atau apakah kita tergamak untuk bismillah sebelum merokok, menyanyi, mengganggu orang, dan sebagainya. Rasanya agak mustahil ada golongan yang sedemikian. Maka secara tidak langsung ayat 1 surah al-Fatihah itu jika difahami konsepnya, matlamatnya, sudah membantu kita menghindarkan diri dari melakukan kemungkaran-kemungkaran tersebut. Jika ada yang ingin melakukannya mereka tidak akan mulakan dengan membaca bismillah. Maka timbul pula persoalan tentang status sembahyangnya. Bacaan Fatihahnya tidak memberi makna kepada dirinya.
Sebaliknya, tidak membaca bismillah dalam segala perbuatan pula hukumnya haram kerana kita sudah dikira sebagai seorang yang melupakan Tuhan. Melupakan Tuhan sudah menghampiri keWujudanNya. Ataupun kita sudah melanggar pengakuan kita dalam doa iftitah itu tadi. Kita mungkir janji. Jadi golongan yang tergamak melupakan Allah sahaja yang sanggup melakukan kemungkaran-kemungkaran. Buktinya, untuk mencuri dia tidak akan membaca bismillah, untuk membohong dia tidak akan membaca bismillah. Maka dia adalah dari golongan orang yang sanggup melakukan kemungkaran dengan melupakan Tuhannya. Na’uzubillah.
Jadi di sinilah letaknya bukti yang tersebut di atas tadi bahawa sembahyang kita dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Syaratnya kita faham apa yang kita baca dalam sembahyang, dan bersikap terbuka untuk membuat perubaha ke arah taqwa. Maka dengan ini juga fahamlah kita bahawa antara sebabnya sembahyang kita dikira seperti tidak sembahyang yang dimaksudkan di atas tadi. Bererti sembahyang kita ditolak. Malah di akhirat kelak sembahyang kita akan dilemparkan ke muka kita. Ini membayangkan kemurkaan Allah s.w.t. Rasulullah juga pernah bersabda, antara orang yang sembahyangnya ditolak ialah seorang lelaki yang sembahyang tetapi tidak membaca apa-apa. Fikirkanlah. Maka sama-samalah kita muhasabah diri dengan sembahyang kita.

Ahad, 19 September 2010

Kandungan:

Untuk apa kita sembahyang

Ye, untuk apa anda sembahyang, menyembah Allah?
Kalau sembahyang hanya untuk memenuhi tuntutan rukun Islam, sebagai tanda keimanan kita sahaja, tiada tindakan atau perlakuan yang selanjutnya, maka sembahyang kita hanya setakat seperti membayar hutang kita kepada Allah s.w.t sahaja. Sembahyang seperti ini belum tentu dapat menjamin kita masuk syurga.
Sembahyang kita harus dapat merobah tingkah-laku. Tingkah laku ini akan menjadikan kita menjadi seorang yang boleh dilihat membawa syiar, membawa imej Islam sejati. Prof. Dato' Dr. Haron Din dalam bukunya Manusia dan Islam menyebut, "Setelah kita mempunyai keimanan dan membentuk sikap-sikap hidup berdasarkan rukun-rukun keimanan tersebut atau setelah kita mempunyai gambaran mengenai hidup berdasarkan rukun-rukun itu, apakah yang seharusnya kita lakukan selepas itu?"
Bagi saya sembahyang contohnya, jika tidak diambil iktibar dari segala hukum-hukumnya, dan diterjemahkan ke dalam kehidupan kita seharian, bererti kita mengabaikan apa yang disebut oleh Prof. Dato' seperti di atas.
Misalnya, ada hukum dalam sembahyang yang melarang kita dari mengganggu ahli jemaah bersebelahan kita, seperti membaca kuat. Apakah iktibar darinya?
Hukum ini sepatutnya mengajar kita jangan mengganggu jiran umpamanya. Dalam kontek hukum itu tadi, jangan membuat bising yang sehingga mengganggu jiran. Sejauh mana kita mengambil iktibar sedemikian?
Dalam bab sembahyang banyak jenis gangguan yang boleh terjadi, dan di luar kesedaran kita. Malah ada hukum berkaitan yang sering diulang-ulang dalam ceramah, tetapi tidak memberi kesan dalam kehidupan. Misalnya, gangguan bau. Kita sering diingatkan, 'jangan makan benda-benda busuk seperti petai, sebelum pergi sembahyang' (sembahyang jemaah la tu). Hukum ini mengajar kita agar tidak membuat gangguan kepada jiran dan sebagainya. dari segi busuk. Bagaimana dengan gangguan dari segi rasa, lihat dan lain-lain?
Jadi seperti yang dituliskan oleh Prof. Dato' tadi, bagi saya kita harus melakukan atau membua tindakan selanjutnya selepas sembahyang selaras dengan hukum-hakam di dalamnya. Begitu juga, hukum-hakam dalam ibadah haji umpamanya. Kita dilarang merosakkan pokok atau membunuh sebarang hidupa ketika wukuf di Arafah. Bagi saya, ini adalah satu bentuk pendidikan ke arah menjaga alam sekitar. Cuba lihat, berapa ramai orang sengaja meletak kereta di atas kawasan rumput yang sengaja ditanam bagi mencantikkan sekitaran, dengan belanja ribuan ringgit. Tetapi berapa ramai orang yang mengamalkannya, walaupun setelah menunaikan haji beberapa kali. Maka dikatakan haji kita tidak memberi kesan kepada diri kita.
Di sini saya hanya menyentuh dua daripada lima rukun Islam. Yang lainnya boleh kita renungkan dan renungkan dan jadikanlah sebagai satu bentuk mentarbiah diri agar menjadi Muslim yang sejajar dengan kehendak Islam kita.